Thursday, December 17, 2009

Hidup dan Dugaan- Bahagian 1

Kekadang bila difikirkan, hidup ini sentiasa penuh dengan cabaran dan dugaan. Ada ketikanya, sampai terasa sudah tidak tertanggung lagi dugaan yang diberikan Tuhan. Namun, seringkali juga aku mendengar Allah S.W.T tidak akan menimpakan dugaan kepada hambaNya yang tidak boleh ditanggung oleh seseorang hamba itu. Bila diimbas-imbas kembali memang ada benarnya, maklumlah dari kecil sampai ke besar....dari menduduki UPSR dan sekarang sehingga ke PhD sudah banyak dugaan dan cabaran hidup yang aku tempuhi tetapi disebalik kepayahan itu, aku sentiasa mengecapi kemanisan yang jarang-jarang diperoleh orang lain akhirnya.

Seingat aku, disebabkan kepayahan hidup di waktu kecil, aku dan kakak bersama seorang sepupu terpaksa ditinggalkan di kampung, hidup bersama arwah nenek dan arwah datuk. Ibu dan ayah kami terpaksa menjual mee kecil-kecilan di Pahang untuk menampung kehidupan kami semua. Aku masih teringat keadaan tempat tinggal ibu, ayah dan adik-adik yang daif, tidur hanya berlapik kan tikar mengkuang di atas lantai tanah dan kedai makan yang hanya boleh berfungsi sehingga awal malam sahaja kerana tiada bekalan elektrik. Tetapi berkat wang yang diperoleh, tiada seorang pun adik-beradik kami yang gagal meneruskan persekolahan.

Begitu juga keadaannya dengan aku dan keluarga di kampung. Masih ternampak-nampak kenangan di mana aku, kakak dan sepupu terpaksa menelaah buku pelajaran di depan pelita minyak tanah. Sehingga keesokan harinya sampai hitam lubang hidung, disebabkan jelaga daripada pelita tersebut...bila dikenangkan kembali naik lucu pulak rasanya.....Di samping wang yang dikirimkan oleh ibu dan ayah setiap bulan, perbelanjaan di kampung juga sedikit sebanyak dibiaya oleh wang ehsan arwah datuk yang pada masa itu adalah seorang pengajar anak-anak kampung mengaji Al-Quran serta wang daripada hasil tanaman arwah datuk dan arwah nenek. Pada masa itu aku ingatkan kebun tersebut adalah kebun kami tetapi bila dewasa barulah aku sedar bahawa kebun tersebut adalah ehsan seorang hamba Allah yang membenarkan arwah datuk dan nenek usahakan dengan cara berkongsi hasil perolehan. Masih teringat, setiap kali hujung minggu kami akan meneman arwah datuk ke kebun untuk membantu beliau menanam anak benih, menyiram tanaman dan memungut tanaman yang telah cukup usia untuk dipetik. Tembikai, keledek, ubi kayu, kacang panjang, terung, cili, dan macam-macam lagi. Sesudah penat kami akan berteduh di bawah pokok macang menunggu kehadiran arwah nenek bersama-sama sarapan pagi yang dibeli daripada pekan berdekatan.

Banyak jasa arwah datuk dan arwah nenek yang tidak akan terbalas sampai bila-bila. Masih terasa nenek dengan kasih-sayang mengejut kami daripada tidur setiap pagi dan mendukung kami seorang demi seorang ke perigi di hadapan rumah. Setelah itu dimandikan dan didukung kembali ke rumah. Walaupun masih darjah 1 dan kakak sudah di darjah 2, tetapi sudah cukup membebankan badan nenek yang sudah tua pada ketika itu, rasanya beliau sudah hampir 60 tahun pada waktu itu....Bersambung....

No comments:

Post a Comment