Friday, December 18, 2009

Hidup dan Dugaan- sambungan Bahagian 1

"Celakat cucu kawe"...itu lah kata-kata arwah datuk yang masih terngiang-ngiang di telinga aku sampai sekarang. Setiap kali kami menunjukkan bakat atau peroleh keputusan yang baik dalam pelajaran. Beliau yang sudah amat tua ketika itu, masih lagi berupaya menyorong basikal tua untuk menghantar aku, kakak dan sepupu ke sekolah. Sebelah petang beliau akan mengajar kami membaca Al-Quran. Ingat lagi bagaimana kakak, sepupu dan beberapa budak kampung yang lain dimarah beliau kerana gagal menghafal surah ataupun salah sebutan. Diangkat-angkatnya lidi untuk memberikan dorongan kepada mereka supaya menitik-beratkan pembacaan Al-Quran. Namun lain pulak halnya denganku. Syukur kepada Allah S.W.T kerana Dia mengurniakan kecerahan hati dan kekuatan ingatan kepadaku berbanding mereka yang lain.

Tetapi kasih arwah datuk tidak lama kami kecapi... Beliau telah pergi meninggalkan kami sewaktu kami sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah pada suatu petang. Hari yang kuanggap biasa berubah dengan tiba-tiba apabila kereta putih ayah berhenti di sisi kami dan terus membawa kami ke rumah tanpa sepatah kata. Arwah datuk telah pergi meninggalkan kami dan tidak mungkin kembali lagi. Pada waktu itu aku baru di darjah tiga. Tidak sempat aku menyampaikan berita kejayaanku berada di tempat ke-tiga kelas dalam peperiksaan akhir tahun. Tentunya beliau akan amat gembira dan mengulangi perkataan "celakat" seperti biasa. Walaupun pada waktu itu aku masih kecil, namun aku dapat rasakan arwah datuk amat mempercayaiku. Pesanan beliau pada suatu petang, "kak ngoh jagola mok..." setelah memanggil aku yang sedang asyik bermain di luar rumah, rupa-rupanya adalah pesanan terakhir daripada beliau buatku.

Setelah itu, kehidupanku di kampung berlalu seperti biasa. Ditemani wajah nenek yang muram dan masih lagi berduka di atas pemergian arwah datuk. Tiga tahun berlalu, aku menduduki peperiksaan UPSR bersama rakan-rakan di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang. Terima kasih kepada guru-guru yang bertungkus-lumus mengajar dan mendidik kami (terutamanya pada Cikgu Rozlan Ibrahim, harap ejaan tak tersilap), aku bersama 11 rakan yang lain berjaya memperoleh 4A. Sepupuku pula memperoleh 3A, 1B (jika aku tak silap). Kami menitiskan air mata kegembiraan walaupun di mata sepupuku ada seguris kekecewaan kerana gagal memperoleh 4A sepertiku. Syukur ya Allah S.W.T atas kurniaMu...Disebalik kegigihan dan ketabahan pasti ada kejayaan yang mendatang...Bersambung

No comments:

Post a Comment