Friday, December 18, 2009

Resipi 2 - Cucur ikan bilis

Assalamualaikum w.r.t dan selamat pagi,

Seorang wanita tidak lepas daripada tanggungjawab untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk ahli keluarga. Bangun pagi tadi, kepala aku ligat memikirkan makanan apa yang boleh disediakan daripada bahan-bahan mentah yang ada di dapur rumahku. Maklumlah urusan untuk perpindahan rumah ke kawasan berhampiran tempat pengajian menyebabkan kami tidak sempat untuk membeli-belah barangan dapur seperti kebiasaan. Mengeledah barang-barang yang ada memberikan idea untuk aku menyediakan cucur ikan bilis (ringkas tapi sedap!!!). Amat disukai oleh suamiku kerana kerangupannya.



Bahan-bahan:

2 cawan tepung pelbagai guna
1/2 tsp soda bikarbonat
2 tbsp gula (boleh ditambah kepada yang inginkan rasa manis)
1 biji kuning telur
1/2 tsp garam
2 biji bawang merah besar yang sederhana besar (dipotong dadu)
1/4 batang lobak merah (dipotong dadu)
2 cawan air suam
ikan bilis kecil
bawang goreng

Cara-cara:

1) Panaskan minyak masak yang agak banyak dan rendamkan senduk logam di dalam minyak.
2) Satukan semua bahan kecuali ikan bilis dan bawang goreng ke dalam mangkuk dan seterusnya diadun hingga sebati. Air dimasukkan sedikit demi sedikit sehingga bancuhan sebati.
3) Setelah minyak panas, angkat senduk dan tuang bancuhan ke dalam senduk tersebut.
4) Jemputkan ikan bilis dan bawang goreng ke atas bancuhan di dalam senduk.
5) Rendam kembali senduk ke dalam minyak dan bancuhan akan lekang sendiri daripada senduk. Goreng sehingga garing.

Amat sedap bila dihidangkan dengan sos dan teh o yang panas.

Tips:
1)Setelah memasukkan bancuhan ke dalam senduk, ngiring-ngiringkan senduk untuk menghasilkan cucur yang sangat rangup di bahagian tepi tetapi masih lembut di bahagian dalam.
2)Jika ikan bilis digantikan dengan udang, maka jadilah cucur udang.
3)Boleh ditambah pelbagai sayur-sayuran lain yang anda gemar (taugeh, daun bawang dlln).



SELAMAT MENCUBA!!!

-Wahai wanita, makanan yang dimasak oleh tangan kita sendiri dapat mengukuhkan rasa kasih sayang ahli keluarga terhadapmu dan memberikan kepuasan kepada dirimu... Jadi rajin-rajinkan lah dirimu walaupun sekadar hidangan yang ringkas...-Matahari

2 comments:

  1. Salam dear,baru nak berjinak-jinak dengan blog nie. Just nak berkongsi dengan dunia..uhukk!, cerita dahulu dan sekarang. Yang baik boleh dijadikan teladan dan yang buruk boleh dijadikan sempadan. Maklumlah bila semua dah ada hidup dan kerjaya masing-masing, untuk mencari telinga mendengar sangat susah...

    ReplyDelete